ARKIB : 16/05/1998
Sultan Terengganu dimasyurkan
KUALA TERENGGANU 15 Mei - Tengku Mizan @ Tengku Zainal Abidin hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu ke-16 di Istana Maziah di sini dengan penuh adat istiadat berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Singapura semalam.
Pemasyhuran baginda disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong; Raja-Raja Melayu; Baginda Sultan Brunei, Hassanal Bolkiah dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Perdana Menteri serta isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Dengan menaiki takhta pada usia 36 tahun, Sultan Mizan merupakan Sultan yang termuda di negara ini.
Sultan Mizan ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah diputerakan pada 22 Januari 1962 di Kuala Terengganu dan merupakan anak kedua (putera pertama) kepada Almarhum Sultan Mahmud, daripada tujuh adik-beradik iaitu empat putera dan tiga puteri.
Majlis pemasyuran dimulakan dengan Yang Dipertua Jumaah Pangkuan Negeri, Raja Zainal Karib Shah ibni Almarhum Raja Harun Al- Rashid mempersembahkan Keris Panjang Kerajaan lalu diterima dan diriba oleh pengganti Sultan yang bersemayam di dewan perbalaian.
Sebaik sahaja pemasyuran selesai dibaca pada pukul 3.50 petang, bendera peribadi Sultan dinaikkan dan diikuti bacaan doa oleh Mufti negeri, Datuk Engku Alwi Engku Ambak.
Bendera Peribadi kemudian diturunkan separuh tiang di halaman Istana Maziah dan Tengku Seri Indera Raja memohon limpah perkenan untuk menyempurnakan pemakaman Almarhum Sultan Mahmud.
Selepas upacara yang berlangsung kira-kira 40 minit itu, jenazah Almarhum diusung keluar oleh kerabat-kerabat diraja.
Jenazah yang diletakkan atas usungan Arakan Maharaja Diraja kemudian diberi kawalan kehormatan sebelum ditarik oleh kira-kira 26 anggota tentera menuju Makam Diraja di Masjid Al-Muktafi Billah di sini sejauh kira-kira dua kilometer. Almarhum Sultan Mahmud selamat dimakamkan pada kira-kira pukul 6.30 petang ini.
Turut mengiringi jenazah ialah kerabat-kerabat diraja, Anwar Ibrahim; Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad; ahli-ahli Jumaah Pangkuan Negeri dan ahli-ahli Exco kerajaan negeri pada kira-kira pukul 4 petang.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri-Menteri dan Ketua Menteri antaranya Tan Sri Khalil Yaacob, Datuk Shahidan Kassim, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Datuk Yong Teck Lee.
Adik-beradik baginda Sultan Mizan yang lain ialah Tengku Farah Quraishiyah Puteri, Tengku Norhana Puteri, Tengku Rahimah Puteri, Tengku Mustaffa Kamel, Tengku Baderulzaman dan Tengku Badrul Hisham dan Tengku Baharuddin.
Baginda menuntut di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1 Kuala Terengganu dari tahun 1968 hingga 1973 dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Kuala Terengganu dari tahun 1974 hingga 31 Disember 1978.
Baginda kemudian melanjutkan pelajar ke luar negara di Geelong of England Grammar School, Victoria, Australia pada 5 Februari 1979.
Tengku Mizan telah mendirikan rumah tangga dengan Cik Puan Seri Rozita Adil Bakeri pada 28 Mac 1996 dan dilantik Yang Dipertuan Muda Negeri Terengganu pada 16 November 1979.
Baginda mendirikan rumah tanga dengan Cik Puan Seri Rozita Adil Bakeri pada 28 Mac 1996 dan dikurniakan seorang putera dan seorang puteri.
Oleh: MARZITA ABDULLAH
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz3myYV7Fa8
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment